Thursday, December 18, 2008

Kewanitaan Dalam Islam


Wanita ibarat bunga. Bagaimanapun kecantikan dan keindahannya pada pandangan mata hanya bersifat sementara.. Sedangkan yang berkekalan menjadi pujaan manusia, adalah wanita yang mulia akhlaknya. Dengan memiliki kemuliaan akhlak ini ke mana-mana sahaja dia pergi pasti akan menjadi sanjungan masyarakat di sekelilingnya. Tiada gunanya berwajah cantik tetapi memiliki akhlak yang buruk. Tiada guna juga berwajah cantik tetapi hati kosong daripada ilmu. Ibarat bunga, ada yang cantik bila dipandang tetapi busuk baunya. Ada pula yang kurang menarik dan baunya juga kurang menyenangkan. Ada juga bunga yang tidak menarik pada pandangan mata kasar tetapi bila dihalusi dengan mata hati, ternyata amat tinggi nilainya.


Kerana itulah kita tidak seharusnya menilai seseorang itu daripada pandangan mata kasar semata-mata.Wanita adalah makhluk Allah yang amat istimewa. Kemuliaan dan keruntuhan sesuatu bangsa terletak di tangan wanita. Kita juga pasti pernah mendengar - tangan yang menghayun buaian boleh menggoncangkan dunia.


Oleh yang demikian, Allah telah menetapkan hukumnya ke atas mereka; walaupun berat di pandangan mata si jahil dan ingkar tetapi ia adalah kemanisan iman yang dirasai oleh wanita solehah.Kerana itulah sebagai anak, dia menjadi anak yang solehah. Sebagai remaja dia akan menjadi remaja yang berhemah. Sebagai isteri, dia menjadi isteri yang menyenangkan dan menenangkan hati suaminya. Sebagai ibu, dia akan mendidik anaknya dengan penuh kasih sayang dan pastinya sebagai hamba Allah, dia akan menjadi hamba yang tunduk dan menyerah diri hanya kepada-Nya.


Firman Allah dalam surah an-Nisa', ayat 24 yang bermaksud:

"Barangsiapa yang mengerjakan amalan yang soleh baik lelaki mahupun wanita sedang ia seorang yang beriman maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikit pun."


Dalam Islam wanita amat dihormati dan dihargai peranannya. Sebagaimana eratnya hubungan siang dan malam yang saling melengkapi, begitu juga lelaki dan wanita diciptakan untuk saling melengkapi. Setiap lelaki dan wanita memiliki tugas-tugas dan kewajipan-kewajipan yang berlainan, bersesuaian pula dengan fitrah masing-masing. Namun, matlamat hidup setiap lelaki dan wanita adalah sama, iaitu mencari keredaan Allah.Allah telah berfirman,


"Barangsiapa yang mengerjakan amalan yang soleh baik lelaki mahupun wanita sedang ia seorang yang beriman maka mereka itu masuk ke dalam syurga dan mereka tidak dianiaya walau sedikit pun." (an-Nisa' 124 ) Rasulullah s. a. w. juga turut menyuruh umatnya supaya memperlakukan wanita sebaik-baiknya sebagaimana sabda Baginda yang bermaksud: "Mereka yang paling sempurna di kalangan mereka yang ikhlas adalah mereka yang mempunyai akhlak yang terbaik dan yang terbaik di kalangan kamu adalah yang paling baik terhadap isterinya." (Hadis riwayat At-Tirmidzi)Rasulullah s. a. w. telah memerintahkan supaya kaum wanita diperlakukan menurut fitrah ia dijadikan sebagaimana dalam sabdanya yang bermaksud: "Berlaku baiklah terhadap kaum wanita lantaran mereka diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok adalah bahagian yang teratas, jika kamu cuba untuk meluruskannya kamu akan mematahkannya dan jika kamu membiarkannya ia akan tetap bengkok, maka berlaku baiklah terhadap kaum wanita kamu."


Terdapat perbezaan di antara pembawaan lelaki dan wanita yang tidak boleh dinafikan. Wanita secara fizikalnya lebih lemah daripada lelaki, oleh itu mereka tidak dapat melindungi diri mereka dengan kekuatan mereka sendiri. Fitrah telah mengurniakan kepada wanita dua ciri iaitu kedegilan dan rasa malu yang merupakan dua senjata ampuh yang digunakan untuk memelihara diri mereka. Nilai sebenar wanita dalam Islam amat bertentangan dengan apa yang diperjuangkan oleh wanita Barat. Nilai wanita bukan terletak pada fesyen pakaiannya yang menonjol, berhias diri untuk memperlihatkan kecantikannya, tetapi hakikatnya ialah pada kesopanan, rasa malu dan keterbatasannya dalam pergaulan.


Allah Yang Maha Bijaksana telah menciptakan manusia dengan sebaik-baik kejadian. Dan Dia telah menjadikan hamba-Nya itu berpasang-pasangan. Lelaki dan wanita yang saling memerlukan.Sebahagiannya menjadi pembantu kepada sebahagian yang lain. Lelaki membantu wanita daripada segi fizikalnya manakala wanita membantu lelaki dengan memberikan sokongan dan peransang. Malah, wajarlah jika di sebalik kejayaan seorang lelaki itu adalah wanita. Kemuliaan manusia hanyalah dalam agama sejauh mana mereka dapat mentaati perintah Allah dengan cara Nabi s. a. w. Allah telah mengurniakan kepada wanita dengan pelbagai kelebihan. Syarat untuk wanita masuk syurga begitu mudah.


Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Nabi s. a. w bersabda: "Seorang wanita yg mengerjakan solat lima waktu, berpuasa wajib sebulan, memelihara kemaluannya serta taat kepada suaminya maka pasti dia akan masuk syurga dari pintu mana sahaja yang dikehendakinya. " (Hadis riwayat Abu Nuaim) Manakala Abdul Rahman bin Auf meriwayatkan bahawa Nabi s. a. w bersabda: "Seorang wanita solehah lebih baik daripada 1000 lelaki yang tidak soleh. Dan, seorang wanita yg melayan suaminya selama seminggu maka ditutupkan baginya tujuh pintu neraka dan dibuka lapan pintu syurga yang mana dia dapat masuk dari pintu mana saja tanpa hisab."Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi s. a. w bersabda: "Sebaik-baik wanita adalah apabila engkau pandang dia maka dia menggembirakan, bila engkau perintah dia taat, bila engkau tiada dia menjaga hartamu dan menjaga pula kehormatan dirinya."Ada sebuah riwayat bahawa pada zaman Nabi s. a. w ada seorang lelaki yang akan berangkat untuk berperang di jalan Allah. Dia berpesan kepada isterinya:"Wahai isteriku, janganlah sekali-kali engkau meninggalkan rumah ini sehingga aku kembali."Secara kebetulan pula ayahnya menderita sakit maka wanita tadi mengutus seorang lelaki menemui Rasulullah s. a. w. Baginda bersabda kepada utusan itu, "Agar dia taati suaminya."Demikian pula wanita itu mengutus utusannya bukan hanya sekali sehingga akhirnya dia mentaati suaminya dan tidak berani keluar rumahnya. Maka ayahnya meninggal dunia tetapi dia tetap tidak melihat mayat ayahnya. Dia tetap sabar sehingga suaminya pulang.


Maka Allah memberi wahyu kepada Nabi yg berbunyi: "Sesungguhnya Allah telah mengampuni wanita tersebut disebabkan ketaatannya kepada suaminya."Dalam riwayat yang lain mengatakan bahawa Allah turut mengampuni dosa ayahnya disebabkan ketaatan anaknya itu. Inilah sebenarnya perkara yg menyebabkan wanita diredai oleh Allah. Sedangkan dalam peristiwa Israk Mikraj, Nabi telah melihat ke dalam syurga yang mana Allah masukkan wanita ke dalam syurga 500 tahun lebih awal daripada suami mereka dan bila melihat ke dalam neraka Nabi dapati dua pertiga daripada penghuninya adalah wanita.


Dipetik dari laman web yg berkaitan.

No comments: